Breaking News
Home » E-Novel » Cik Pink Mr Black Part 13

Cik Pink Mr Black Part 13

E-Novel | Cik Pink Mr Black Part 13
Hizwan cuba mencari ruang dihatinya sendiri. Mahu atau pun tidak. Hanya itu jawapan yang dia ada. Tidak mahukan Ain bermakna dia harus lepaskan Ain. Ain barangkali ada kehidupannya yang tersendiri. Mahukan Ain bererti dia harus bersama Ain. Menjaga Ain. Melunaskan tanggungjawabnya terhadap Ain.
Sepanjang malam dia tidak mampu melelapkan mata walaupun sekejap. Otaknya sudah tepu dengan segala permasaalahan yang kini sudah menguasai hidupnya. Walaupun masalah itu bukanlah sebesar mana. Namun ia memberi impak kepada kehidupan dia mahu pun Ain.
Kenapa dia tidak boleh cam Nur Ain Amani sejak dia pulang ketanahair. Kenapa disaat dia baru sahaja mahu melegakan otak,mahu bergembira Hilman mengatakan gadis yang terpacak dihadapannya setiap hari itu adalah Nur. Nur yang ingin dicarinya.Ah! memang Nur sudah banyak berubah. Wajahnya semakin matang. Bukan lagi kebudak-budakan seperti dulu. Dia berkira-kira sendiri. Hizwan memang hidup senang dengan Hilman. Wajar lah gadis kampung itu berubah 360darjah. Hingga dia sendiri tidak kenal. Padahal gadis itu lah yang sering menemaninya belajar hingga lewat malam atau menonton vcd. Gadis yang pernah menceriakan hidupnya seketika.
Bagaimana dia mahu menghadapi Ain lewat perjalanan ini.? Ini baru disatu negeri. Belum lagi negeri-negeri yang lain. Hizwan mahu sahaja pulang semula ke Kuala Lumpur. Jika terpaksa menaiki bas pun dia tidak kisah. Dia tidak sanggup melihat Ain. Dia hanya diburu rasa bersalah yang sentiasa membayangi langkahnya. Tetapi adakah dia bersalah terhadap Ain. Ain yang pergi begitu sahaja disaat dia bersedia menerima. Ain hilang disaat dia baru belajar menerima.
Dalam sedar dia mendail nombor bilik Ain. Lewat tengah malam begini. Dia tidak peduli. Dia harus bertanya. ada berbagai persoalan berlegar didalam kepala Hizwan. Dia sudah tidak sanggup menyimpan walau satu pun soalan lagi. Ain harus dihadapi. Sampai bila pula dia harus diam. Dia lelaki. Wajarlah dia sebagai lelaki membuka mulut.
Ain yang mendengar bunyi telefon terpisat-pisat bangun dan mengangkatnya. Entah siapa yang mengacau tengahmalam buta begini. Sempat Ain mengerling jam diatas meja sudah pukul satu pagi. Aduhai! Waktu orang sedang enak dibuai mimpi.
“Ain turun sekarang. Saya tunggu dilobi. Sekarang!” telefon terus diletak.
Ain tidak sempat menjawab. Siapa ni? Malam-malam buta ni suruh dia turun kelobi. Menggangu betul. Tak tahu kah orang nak tidur. Ain mahu sahaja menyambung kembali tidurnya yang terganggu. Tidak kuasa mahu melayan. Belum pun sempat dia merebahkan badan kembali,telefon berbunyi lagi. Aduh! Mahu sahaja Ain mencabut wayar telefon.
“Ain saya tunggu. Cepat sikit.”
“Siapa ni?”
“Hizwan” telefon kembali diletak begitu sahaja.
Hizwan! Ain terus berdiri. Terkejut. Hizwan telefon malam-malam buta begini semata-mata mahu berjumpa dengannya. Gila! Ain mengurut dada. Terkejut. Apa terjadi agaknya antara Hilman dan Hizwan. Ain sedia tahu mereka berdua keluar selepas solat Maghrib tadi. Adakah Hilman telah memberitahu Hizwan akan perihal Ain selama ini. Aduh! Perut Ain sebu tiba-tiba.
Telefon kembali berdering. Ain masih duduk dibirai katil. Masih berfikir wajarkah dia turun dan bertemu Hizwan.
Deringan terus memanjang. Bimbang menganggu Kak Pah dan Mia, Ain mengangkatnya.
“Sekejap Ain turun.” Dia sudah boleh mengagak siapa yang menelefon.
Ain bagun culas. Malas. Sedang enak bermimpi dia dikejutkan. Mahu atau tidak Ain segera bersiap-siap. Menukar baju tidurnya. Tak kan dia mahu turun dengan berpakaian tidur pula. dalam keluh kesah yang bertandang dihatinya. Ain sampai jua diruangan penyambut tetamu.
“Ain.” Mendengar nama disebut Ain menoleh. Wajah kusut Hizwan terpampang dihadapannya.
Ain serba salah. Dia menunduk kan wajahnya entah apa yang dilihat. Barangkali selipar yang Ain pakai sudah cukup cantik untuk dipandang selain wajah Hizwan yang kelihatan tidak bermaya. Tidak tidurkah dia? Macam mana nak tidur jika Ain yang menjadikan lelaki itu tidak tentu hala. Ain berkira-kira sendiri. Pasti kerana dia Hizwan jadi begini.
“Kenapa nak jumpa saya ni Wan?” Ain bertanya. sekadar menutup gugup dihati.
“Pasal awak Nurani Amani. Boleh kita duduk dekat sana” Hizwan menunjuk kesatu arah. Bangku yang agak tersorok disebalik pasu bunga yang besar.
“Cakap dekat sini aje tak boleh ke?”
“Saya nak bercakap dengan awak seorang. Bukan dengan adanya mereka-mereka dekat sini. Boleh?”
“Mereka-mereka? Siapa?” Ain memandang sekelilingnya. Hanya ada penyambut tetamu dan pakcik pengawal keselamatan sahaja di ruangan itu.
“Ain..tolong. kesana ye.” Hizwan sudah bergerak menuju kearah bangku yang masih kosong. Ain mengekori Hizwan.
Akan marahkah Hizwan pada dia? Ain merasa resah. Salah dia juga. Mengapa dia sanggup memperlakukan Hizwan begitu. Memberi harapan dan lepaskan begitu sahaja.
“Ain..Kenapa?” Hizwan sendiri tidak tahu apa yang harus dia tanyakan pada Ain. Sedangkan ada banyak soalan yang ingin dia tanyakan.
“Kenapa?..kenapa apa? Ain buat bodoh. Bodoh tahap entah apa ntah.
“Ain tolong jangan buat tak tahu seolah-olah tak ada apa berlaku dahulu. Kenapa Ain lari tinggalkan kami semua terutamanya saya? Apa salah saya sampai begitu sekali perlakuan Ain. Bukan kah itu bukan tindakan yang bijak. Meluka kan hati semua orang. Meluka kan hati saya.”
Aduh! Ain terkulat-kulat. Macam cicak tertelan kapur. Apa dia nak jawab?
“Salah ke apa yang saya buat dahulu? Kalau Ain tak suka kenapa iya kan sahaja masa arwah papa beri cadangan macam tu. Ain tahu tak saya dah bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan. Sudah bersedia menerima tanggungjawab yang telah diamanahkan tetapi mengapa Ain pergi?”
“Sikit pun dalam hati Ain tak suka kan saya ke? Kalau begitu kenapa Ain layan saya seolah-olah saya ni macam…” Ah! Hizwan tidak mahu meneruskan lagi. Dia meraup wajahnya yang sudah panas. Sepanas hatinya yang tiba-tiba sahaja membuak-buak didada.
Ain hanya diam. Tidak membalas. Tiada reaksi. Salah dia! Memang salah dia. Haruskah saat ini dia mohon kemaafan. Mahukah Hizwan maafkan dia. Sebagaimana kata Hilman dahulu. Hizwan pasti maafkan setiap perlakuan Ain sebab Hizwan memang sayangkan Ain.
Sayangkah Hizwan pada dia lagi setelah dia lari dari hidup Hizwan. Masih bersisakah rasa kasih Hizwan jika ia benar sepertimana kata Hilman sewaktu dia tertangkap di kedai Pak Ibrahim dahulu. Tertangkap setelah 3 bulan dia menghilangkan diri.
‘Bisu? Dah tak boleh nak cakap dah ke?” Hizwan sinis menyindir. Geram benar dia melihat Ain yang tiba-tiba menjadi patung.
“Selagi tak jawab apa yang saya tanya. Ain jangan naik. Jangan tidur. Kenapa Ain lari?”
Ain masih diam. Tidak tahu apa yang mahu dia jawab.
“NurAin Amani…kenapa awak diam? Jawab lah?”.. Hizwan menahan rasa. Ain menjadi bisu-sebisunya.
Ain tidak mahu menjawab. Walaupun dia ada jawapannya. Hizwan tak akan tahu sekarang. Bukan hari ini. Setahun ada 336 hari. Tentulah akan ada hari yang sesuai untuk dia bercerita. Biarlah Hizwan membenci dia pun. Ain tidak kisah apa pun. Dah memang salah dia.
“Ain..awak tak pernah pun suka kan saya kan? Awak memang tak pernah sayangkan saya kan?” Hizwan bersuara perlahan. Lemah. Kebisuan Ain membuatkan dia mencongak jawapan sendiri. Memang Nurain Amani sengaja pergi dari hidupnya.
Ain masih jua dengan kebisuannya. Hatinya sedikit kasihan dengan Hizwan. Hizwan yang langsung tidak bersalah. Dia yang bersalah sebenarnya. Ain bukan tidak pernah tidak sukakan Hizwan. Dia pernah sukakan lelaki itu. Malah sayangi lelaki itu sepenuh hatinya. Cuma dia tidak menyangka ada perkara lain yang telah menyebabkan dia terpaksa melupakan rasa yang tumbuh mekar dihatinya ketika itu.
Sikap Ain yang beku menyebabkan Hizwan meninggalkan sahaja Ain di bangku itu. Dia melangkah kearah Lif. Tidak ada gunanya menanti Ain bersuara. Ain sudah menjadi ais!
@@@@@@@@@@@@@@@@@
Hilman memasuk kan semua beg kedalam tempat meyimpan barang. Pagi ini dia akan meneruskan perjalanan kepantai terkenal di Negeri Sembilan. Dia sudah siap menyewa sebuah apartmen.
Mia begitu teruja. Sudah lama dia tidak mandi laut. Hakimi dan Kak Pah giat mengusik Mia. Ada –ada sahaja yang mereka bualkan. Hari ini Hakimi pula menjadi pemandu pelancong.
Dari cermin pandang belakang Hilman sempat mencuri pandang. Ain kelihatan letih sahaja. Seperti tidak cukup tidur. Hizwan juga begitu. Wajah mereka berdua kelihatan tegang. Sepatah pun tiada perkataan keluar dari mulut Ain mahupun Hizwan. Hilman sudah boleh mengagak. Pasti Hizwan bergaduh dengan Ain.
Mia bersorak sebaik sahaja dia melihat laut yang terbentang luas.
“Kak Ain cuba tengok tu laut. Cantiknya.” Mia cuba menarik perhatian Ain yang sedari tadi hanya diam membisu.
“Tak payah kacau kak Ain tu. Lagi pun dia dah jadi bisu sejak semalam.” Hizwan menyindir. Rasa sakit hatinya malam tadi dibawa hingga ke pagi. Ain yang mendengarnya hanya diam. Biarlah Hizwan nak kata dia apa pun. Dia tidak kisah.
“Kenapa pekan ni dinamakan Port Dickson?” Hakimi sengaja memancing minat Ain supaya berbual dengan mereka. Rimas pula dia bila Ain diam membisu.
“Yelah kak Ain. Mesti kak Ain tahu kan. Papa kata Kak Ain sudah google semua info.”
“Hurm….” Ain menjawab malas. Kalau di ikutkan hati dia mahu sahaja turun dari MPV Hilman. Berjalan kaki,naik bas,tahan teksi atau apa sahaja yang membolehkan dia jauh dari manusia bernama Hizwan.
“Cepat lah Kak Ain..” Mia mendesak Ain bercerita.
“Kenapa ye pekan ini dinamakan Port Dickson. Ia dinamakan begini sempena nama seorang penjajah Inggeris. Sir Frederick Dickson. Selain dari itu ia ada juga nama asalnya,Tanjung Tin.”
“Tanjung Tin?” Hakimi menyoal. Nama itu kedengaran aneh padanya.
“Kalau kita perhatikan bentuk pantai disini lebih kurang seperti tanjung kecil sahaja. Pantai nya sesuai untuk kapal berlabuh. Mungkin disebabkan ini ia dinamakan Tanjung Tin. Selain dari itu ia juga dikenali sebagai Arang.”
“Arang pula? macam-macam nama dia ada ye.” Sampuk Kak Pah.
“Arang sebab dahulu di persisiran pantainya ada kilang membuat arang.”
“Kiranya disinilah tempat pelancongan paling terkenal di Negeri Sembilan ye Kak Ain.”
“Ye betul tu Mia. Pantainya memang sesuai untuk mandi manda sebab ombaknya tidak terlalu kuat. Tidak sama seperti pantai di sebelah timur yang agak merbahaya.”
“Boleh lah kita mandi ye lepas ni kak Ain.”
“ Boleh Mia. Nanti kita ke pantai Tanjung Biru. Boleh ke rumah Api Tanjung Tuan sekali.”
“Wah mesti best kan?” Mia melonjak-lonjak gembira. Hakimi turut ketawa, Kak Pah tersengih melihat keletah Mia. Hizwan tetap dengan muka cemberutnya.Hilman mencuri pandang Hizwan yang masam mencuka. Didalam hati Hilman mula merancang sesuatu. Dia tidak mahu Ain mahu Hizwan menjadikan percutian ini hambar.
Seperti yang dirancang. Mereka ke Tanjung Biru untuk bermandi manda. Memang indah pantainya. Airnya berwarna biru kehijauan. Dari kejauhan mereka boleh melihat kapal berlabuh dan mengadakan aktiviti menyelam. Mia sedikit kegelian kerana pantainya penuh dengan rumpai laut yang terdampar ditepian pantai. Namun itu bukan penghalang untuk mereka tidak mandi dan berenang jauh kelaut lepas.
Puas mandi mereka naik ke rumah api seperti yang dijanjikan. Ain kembali rancak bercerita.
“Rumah api ini adalah diantara rumah api yang tertua di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1819 oleh kerajaan British yang memerintah masa tu. Semasa zaman Stamford Raffles. Pada tahun 1860 ia telah dibina semula selepas bangunan ini musnah akibat perang.”
Mereka mengikuti denai dilereng bukit rumah api itu. Ain menunjukan kearah pusaran air yang boleh dilihat jelas dari lereng itu.
“Pusaran air tu sangat merbahaya bagi kapal-kapal. Pada tahun 1605 beberapa buah kapal perang Belanda dan Portugis telah tenggelam di sana.” Tangan Ain menunjukan kearah pusaran air tersebut.
“Bangunan ini terletak 500 meter dari aras laut. Setinggi 24 meter dengan bilangan anak tangga sebanyak 66 mata.Tinggi kan? Sayangnya ia tidak dibuka kepada orang awam. Pandang sahaja lah dari bawah ni.”
“Denai-denai ni menuju kemana Ain?” Hakimi bertanya.
“Entah lah Ain tidak pula pasti tapi menurut kata mereka  ia menuju ke Tok Keramat Lela dan pelantar tinjau Pulau Intan.”
“Ada apa dekat pelantar tinjau Pulau Intan tu?”
“Itu pun Ain tak pasti. Khabarnya pelantar tu berguna sewaktu bulan tiga nanti untuk meninjau migrasi burung antara benua. Tanjung Tuan ada salah satu tempat persingahan burung-burung tersebut.”
“Bagus juga kan nanti kalau kita datang kemari bulan mac nanti.”
“ Boleh juga bang. Mesti banyak spesis burung yang tak ada di Malaysia singgah disini.”
“Dekat mana lagi ye tempat bersejarah yang ada didalam Negeri Sembilan ni Ain?” Hilman bertanya.
“Pangkalan Kempas. Nanti bila kita ke Rembau kita singgah lah. Dah petang ni apa kata kita balik. Penat lah nak tidur.” Ain ketawa. Sebenarnya dia melihat Mia yang sudah beberapa kali menguap. Mengantuk dan kepenatan barangkali.
Mereka turun ke kebawah apabila matahari sudah hampir terbenam. Memang cantik melihat matahari hilang seolah-olah ditelan laut. Mentari merah diufuk timur. Ain teringat akan lagu dari Kumpulan Search yang satu ketika dahulu begitu popular. Tiba-tiba Ain merasa sangat romatik. Alangkah bagusnya jika dia sedang berbulan madu.
Ain memandang Hizwan. Ah! Lelaki itu sedikit pun tidak mengendahkan dia. Puaslah dia bercakap sebagai pemandu pelancong hari ini namun lelaki itu pula menjadi beku. Balas dendam lah agaknya. Apa ni? Balas membalas. Aduh! Macam budak-budak pun ada.
Hilman mahu singgah sebentar di Dataran Kemang. Tidak ramai pengunjung kerana sudah lewat petang. Dia hanya mahu duduk seketika melihat matahari terbenam. Hakimi,KakPah,Mia dan Hilman berdiri ditepi pantai. Mendengar deruan ombak. Melihat matahari hilang disebelah sana. Cantik!
Ain memilih untuk duduk sahaja dibangku yang disediakan. Termenung jauh. Mengingati sesuatu yang telah jauh dia tinggalkan. Tanpa dia sedari Hizwan melabuhkan punggungnya disisi Ain. Rapat ! cukup untuk dia menikmati harumya wangian Ain. Sama seperti bau kereta Ain juga.
“Kenapa Ain share minyak wangi Ain dengan kereta?”
“Ha! “ Ain terkejut. Bila masa pula Hizwan duduk disebelah dia.
“Kenapa Share minyak wangi dengan kereta. Sayang minyak wangi mahal-mahal dikongsi dengan kereta.”
Eh! Ikut suka akulah nak share dengan kereta pun. Ain hanya bersuara didalam hati.
“Saja suka-suka. Awak cium saya ke? Eh! Awak hidu bau minyak wangi saya ke?”
Hizwan tersenyum. Awak cium saya ke?. Berangan sahaja si Ain ni. Hatinya sudah sedikit terpujuk dengan Ain. Kalau pun dia membeku sama seperti Ain sampai ke sudah masalah tak akan selesai. Ego lelaki nya harus dikikis jika tidak mahu kehilangan lagi. Cukup lah dia kehilangan Ain selama empat tahun ini.
“Ain..saya tak akan tanya lagi kenapa awak pergi dahulu. Apa pun saya tidak mahu tahu sekarang. Saya Cuma mahu sedikit ruang antara kita. Memberi peluang sekali lagi adalah lebih baik dari kita terus membeku dan rasa terasing.”
Ain menoleh. Dia memandang Hizwan yang sedang merenung kearah laut. Adakah disini akan bermula segalanya sekali lagi. Adakah disini dia akan membuka hatinya sekali lagi buat lelaki ini? Tapi bagaimana pula dengan apa yang pernah dia lalui dahulu. Akan tahan kah dia dengan cabaran yang pastinya akan mengganggu ketenteraman jiwanya.
“Ain, dulu saya tidak mencari kerana saya lelah mengejar cita-cita saya. Tetapi dalam masa empat tahun ini tidak bermakna saya sudah melupakan awak. Sedikit pun saya tidak melupakan awak. Janji saya pada diri sendiri. Saya akan mencari awak tanpa tapi-tapi lagi. Saya minta maaf kerana tidak mencari awak selama ini.”
Ain hanya mendengar kata-kata Hizwan. Adakah dia gembira saat ini? Atau dia harus bersedih kerana perkhabaran itu pasti mengundang sedikit masalah. Ain tidak mahu terlibat. Namun jika difikirkan kembali apa hak orang mahu menidakkan haknya. Sudah terlalu lama dia lari dari tanggungjawab. Bukan kah ini yang dia mahu. Bukankah selama ini dia memang menanti kepulangan Hizwan.
“Ain..kita selesaikan masalah ni sebaik-baiknya. Terpulanglah pada awak membuat keputusan. Saya tidak mahu memaksa. Cukuplah awak terpaksa dan dipaksa satu ketika dahulu. Iklas Ain kalau boleh saya tidak mahu awak pergi lagi.”
“Ain…” Hizwan menyambung lagi.
“Saya tidak pernah tidak sayangkan awak. Jauh sekali membencii awak. Siapa pun awak rasa itu tidak pernah terkurang malah ia sudah cukup terlebih dan melimpah ruah. Saya harap sangat apa yang saya mahu itu juga yang awak mahu.”
“Sebagai lelaki saya buang ego itu jauh-jauh demi awak Ain. Walau dengan apa cara sekali pun saya akan cuba menjadi apa yang saya mahu ada diri awak. Sehingga lah awak sendiri berkata ya atau tidak.”
Ain terkesima. Sungguh dia sangat terharu. Dia ingin membalasnya. Ingin menyatakan apa sahaja yang terbuku dihatinya tetapi dia terjah rasa yang tidak-tidak silih berganti menghambat dirinya ketika ini.
Hizwan tidak menunggu jawapan Ain lagi. Sedarlah dia. Dia harus berusaha mulai dari hari ini. Dia berjanji pada dirinya apa pun jua dia akan sedaya-upaya menunaikan amanah yang diberi. Dia nekad. Ain akan ditawan!

Check Also

7 perpindahan tertinggi pemain bolasepak dunia

7 Perpindahan Termahal Dunia Dalam Bolasepak

7 Perpindahan Termahal Dunia Dalam Bolasepak. Dunia bolasepak sering dikejutkan dengan perpindahan yang mahal yang …

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *